,

5 Kereta Dengan Rekabentuk Paling Pelik Pernah Dihasilkan


Teknologi zaman moden telah banyak membantu perkembangan penghasilan automobil. Terlalu banyak perubahan dan pembaikan yang telah diadaptasikan ke dalam dunia pengangkutan, terutamanya kereta. Ini adalah kerana kereta adalah antara salah satu medium pengangkutan yang paling banyak digunakan di dunia.

Jika dilihat pada rekaan masa kini, memang terdapat perubahan yang sangat ketara. Kereta zaman moden kelihatan lebih futuristik dan bergaya jika dibandingkan dengan kereta terdahulu. Juga, terdapat banyak penghasilan kereta yang direkabentuk dengan gaya tersendiri namun dianggap pelik di mata dunia. Ia bukan sahaja direkabentuk, malah dipasarkan.

Kami ingin berkongsi dengan anda 5 rekabentuk kereta yang paling pelik pernah dihasilkan.

 

5. 1936 Stout Scarab

Memang tak dinafikan lagi kepelikan bentuknya. Ia seperti kereta yang anda akan lihat dalam filem-filem masa depan atau robot. Kereta 1936 Stout Scarab ini direkabentuk oleh pereka Willam Stout. Beliau merupakan perintis di dalam menggabungkan kemewahan dan keselesaan ke dalam penghasilan pengangkutan. Dahulunya merupakan seorang jurutera pesawat, William mereka bentuk kereta ini yang dilengkapi dengan enjin Ford V-8, berbadankan aluminium. Oleh sebab harganya yang terlalu mahal iaitu RM21,300 ketika itu (RM350,000 sekarang), kereta ini tidak mendapat sambutan dan kurang daripada 10 unit dihasilkan.

 

4. 1947 Norman Timbs Special

Sekali pandang memang nampak macam tab mandi di dalam hotel mewah, tetapi ia sebenarnya adalah sebuah kereta. 1947 Norman Timbs Special dihasilkan oleh Timbs sendiri yang bekerja di Tucker Automobiles merupakan seorang jurutera perlumbaan dan menghabiskan masa 3 tahun untuk menyiapkan kereta ini dengan enjin Buick Straight 8 diletakkan di bahagian belakang kereta. Bentuknya yang sangat unik, membolehkan ia menjadi kereta paling pelik pernah dihasilkan.

 

3. 1953 General Motors Firebird 1 XP-21

Ya, ia adalah sebuah kereta. Bukan pesawat. Pasti anda berasa ragu-ragu sama ia adalah sebuah kereta atau pesawat. Namun, reka bentuknya sememangnya diinspirasikan oleh pesawat. Mempunyai 4 roda seperti kereta biasa, ia juga dilengkapi dengan ekor bersirip, dan kokpit bergelembung. Mempunyai 2 lagi siri yang dihasilkan iaitu Firebird 2 dan Firebird 3, ia dihasilkan khas untuk pertunjukkan kereta Motorama.

2. 1948 Tasco

Entah apa yang hendak disampaikan daripada rekabentuk kereta ini, tetapi ia memang tak syak lagi menjadi antara salah satu kereta terpelik di dunia. Kereta yang diinspirasikan oleh pesawat pejuang Perang Dunia Kedua ini diberi nama Tasco, singkatan daripada The American Sports Car Company dan hasil ciptaan Gordon Buehrig. Jika anda lihat pada setiap roda, terdapat penutup yang diperbuat daripada gentian kaca, yang akan bergerak seiring dengan roda apabila sterengnya dipusing. Pelik kan? Namun, syarikat kereta ini tidak bertahan lama.

 

1. Ferrari 512S Modulo

Bila dengar nama “Ferrari”, pasti anda teringatkan jentera kereta yang sangat gah dengan kelajuan dan rekabentuk yang memukau. Namun, ia agak berbeza kali ini. Kereta konsep yang direka oleh Paolo Martin ini diperkenalkan di Pertunjukkan Kereta Geneva pada tahun 1970. Jika dilihat sekali pandang, ia tidak ubah seperti kapal angkasa dalam cerita zaman dulu dengan modal yang rendah. Sama ada dari sudut tepi, depan atau belakang, ia tetap merupakan kereta yang paling pelik anda pernah lihat.

Sumber : Iluminasi

Suami Nak Menikah Lagi? Pergilah..Buat Apa Nak Rebut Kalau Dah Tak Elok

Anak-Anak Suka Mayonis? Tapi Nak Beli Harga Mahal? Jom Buat Sendiri Dengan 4 Cara Mudah Ini…